FACEBOOK JAZYBOYZ AND TRAINING CENTER JAZYBOYZ

Thursday, August 13, 2009

Etiqa sasar premium RM1.4b

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Etiqa Takaful Bhd. (Etiqa) menyasarkan premium kasar sebanyak RM1.4 bilion pada tahun ini berbanding RM1.044 bilion pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2008.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Tarmizi Ahmad Nordin berkata, peningkatan sasaran premium itu berikutan pertumbuhan perniagaan insurans yang berterusan walaupun berlaku kelembapan ekonomi.Beliau memberitahu, bilangan pemegang polisi insurans hayat didapati terus meningkat berbanding insurans jenis lain.

"Kami yakin untuk berada di landasan yang betul bagi mencapai jumlah premium kasar melebihi RM1 bilion setiap tahun.

"Etiqa kini mempunyai pemegang polisi hampir sejuta orang dan merupakan syarikat takaful terbesar di dunia.

"Insurans hayat menyumbang kira-kira 70 peratus kepada pertumbuhan perniagaan syarikat manakala lain-lain sebanyak 30 peratus,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan wang tunai sebanyak RM70,000 ke dalam Dana Amanah Fisabilillah Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) di sini hari ini.Sumbangan itu diterima oleh Ketua Pegawai Akademik dan Dekan INCEIF, Datuk Profesor Dr. Syed Othman Alhabshi.

INCEIF ditubuhkan sejak 2007 dan merupakan institusi yang menawarkan Program Kewangan Islamik Profesional Berkanun (CIFP) milik Bank Negara Malaysia.Institusi tersebut menawarkan kursus di peringkat pengajian doktor falsafah dan sarjana yang dijalankan untuk golongan pekerja.

Kini, ia mempunyai 101 pelajar dari 21 buah negara dan lebih 45 peratus merupakan pelajar warga asing.

Ketika ditanya mengenai perancangan produk baru yang ditawarkan Etiqa, Mohd. Tarmizi menambah, pihaknya bercadang untuk melancarkan produk baru selepas Jun ini.Katanya, sekarang, Etiqa dalam proses mengintegrasikan sistem teknologi maklumatnya bagi memberi kemudahan kepada para pelanggan untuk berurusan dengan syarikat tersebut.

Ujarnya, sistem integrasi itu turut memudahkan tugas kakitangan Etiqa.

Sementara itu, Syed Othman berkata, Dana Amanah Fisabilillah yang menerima sumbangan zakat dari pertubuhan dan individu akan membiayai pelajar INCEIF yang layak untuk melanjutkan pengajian.

Jelasnya, pengagihan wang dari dana itu hanya boleh dibuat berdasarkan arahan pengurusan amanah meliputi lima ahli termasuk dua ahli dari INCEIF dan tiga lagi merupakan pihak luar.

0 comments: